KL SUPERCAR DRAG RACE 2016 Press Release
KL Supercar Drag Race Dapat Sambutan Luar Biasa

18 July 2016 – sinarharian.com.my

SIRI pertama KL Supercar Drag Race yang berlangsung dari 15 hingga 17 Julai lalu mendapat sambutan luar dugaan apabila berjaya menarik lebih 20,000 penonton untuk menyaksikan kejohanan supercar pertama di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Kejohanan ini mendapat penyertaan yang cukup memberangsangkan apabila disertai lebih 270 peserta turut disokong 25 kelab kereta supercar Malaysia.

Menurut pengerusi program ini, Nazir Hussin Akhtar Hussin siri pertama KL Supercar Drag Race ini berjaya mencapai sasaran utamanya iaitu untuk menjadi perjumpaan terbesar pemilik supercar dan peminat dunia permotoran Malaysia.

“Dengan sambutan dan penyertaan yang sungguh menggalakkan saya percaya kami sudah berjaya mencapai sasaran utama acara ini. Acara ini bukan sahaja menjadi platform untuk perjumpaan pemilik kereta supercar, bahkan ia juga dapat menarik minat rakyat Malaysia yang menyukai sukan permotoran.

“Inisiatif Pemuda Umno untuk menganjurkan kejohanan ini juga telah mendapat pujian dan reaksi positif daripada pelbagai pihak kerana ia telah menarik minat penonton daripada pelbagai bangsa dan agama yang ingin melihat perlumbaan supercar dengan lebih dekat secara live.

“Lebih membanggakan lagi, video live yang dimuatnaik di Facebook KL Supercar Drag Race juga telah mencecah jutaan tontonan dalam masa tidak sampai sehari. Ini menunjukkan acara sebegini mempunyai kelompok peminat yang besar di Malaysia dan saya amat berharap ianya dijadikan acara tahunan di Malaysia,” ujarnya.